Monday, May 3, 2010

Dewan Negara: Transformasi Kurikulum Beri Penekanan Pembelajaran Menyeronokkan

03 Mei, 2010 13:49 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Program transformasi kurikulum yang sedang dilaksanakan memberi penekanan kepada pembelajaran yang menyeronokkan dan melibatkan perubahan dalam bentuk serta kandungan penjadualan waktu, Dewan Negara diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata transformasi kurikulum itu bagaimanapun masih berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) walaupun menggunakan pendekatan yang berlainan.

"Transformasi ini turut memberi penekanan yang lebih kepada pentaksiran berasaskan sekolah, meningkatkan penglibatan murid dalam kokurikulum dan kegiatan luar bilik darjah," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rashid Ngah di sini.

Abdul Rashid dalam soalannya ingin tahu tentang apakah yang dimaksudkan dengan transformasi pendidikan dan adakah ia memerlukan kajian semula ke atas dasar dan falsafah pendidikan negara.

Wee berkata transformasi kurikulum ini turut melibatkan pengukuhan dan pemantapan sifat serta peribadi pelajar yang berasaskan kepada enam tunjang iaitu komunikasi, kerohanian sikap dan nilai, kemanusiaan, fizikal dan estetika, literasi sains dan teknologi, serta ketrampilan diri bagi melahirkan insan holistik.

"Kaedah ini adalah untuk memastikan kurikulum yang diajar berjaya membentuk dan melahirkan murid yang mempunyai peribadi kental dalam menangani masalah sosial yang wujud di kalangan masyarakat hari ini," katanya.

Beliau berkata dalam proses transformasi itu, elemen inovasi, keusahawanan dan teknologi maklumat diajar secara ekplisit kepada murid selain menyediakan ruang dan peluang untuk membangunkan modal insan yang lebih holistik, berpengetahuan serta berfikiran kreatif, kritis dan berinovatif.

Wee berkata transformasi kurikulum pada peringkat pra-sekolah mula dilaksana tahun ini, manakala peringkat sekolah rendah akan mula dilaksanakan tahun depan untuk murid Tahun 1 dan sekolah menengah bermula dengan murid Tingkatan 1 pada tahun 2012.

Menjawab soalan Senator Datuk Akbar Ali mengenai bagaimana transformasi boleh merealisasikan Model Ekonomi Baru sekurang-kurangnya dalam aspek struktur guna tenaga, Wee berkata kementerian sentiasa melakukan pembaharuan dalam aspek literasi sains dan teknologi yang terdapat dalam enam tunjang utama transformasi.

"Mungkin sudah tiba masa untuk menambah subjek vokasional dan teknikal di sekolah menengah bagi membantu pelajar yang langsung tidak boleh belajar.

"Kita akan guna platform ini untuk latih mereka, mungkin Tingkatan empat atau lima untuk dapat Sijil Kemahiran Malaysia tahap kedua, sekurang-kurangnya sebagai asas untuk latih mereka kuasai ilmu dan seterusnya memenuhi pasaran luar," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment